Indeks Harga Pengguna Rendah Tidak Melambangkan Kenaikan Harga Sebenar?

dah lama jugak aku dok pikir camana lah gomen calculate indeks harga pengguna ataupun consumer price index (CPI). sebab kalau tgk kan cpi rendah je tapi harga barang kat msia bertambah lebih dari tu. tak yah pegi jauh lah..tgk harga air kat kedai je sudah. teh tarik dah 1.50. belum roti canai..roti2 lain lagi. kat bawah ni ada gak artikel pasal indeks harga pengguna dari berita harian saja nak share 

Kenaikan IHP jejas kuasa beli rakyat Oleh Mohd Afzanizam Abdul Rashid 2012/09/18 

Fenomena kenaikan harga makanan sememangnya menjadi isu yang sinonim dalam kehidupan seharian kita. Seringkali juga kedengaran rungutan daripada pengguna berkenaan harga barangan yang cenderung untuk terus meningkat pada masa hadapan, sekali gus memberi gambaran kuasa beli mereka akan terus terjejas. Ditambah pula dengan kekeliruan terhadap perangkaan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mana umum tidak begitu memahami maksud di sebalik angka yang ditunjukkan. Sebagai contoh, IHP bagi tempoh tujuh bulan pertama adalah 1.9 peratus dan rata-rata akan berpendapat bahawa indeks ini tidak melambangkan keadaan sebenar terhadap paras harga semasa berikutan ia terlalu kecil. 

Ada dua kekeliruan di sini. Pertama, kadar perubahan yang dinyatakan adalah IHP untuk tempoh tujuh bulan pertama tahun 2012 berbanding tujuh bulan pertama pada tahun 2011 iaitu 1.9 peratus. Sementara perbandingan IHP bagi tempoh tujuh bulan pertama 2011 berbanding tujuh bulan pertama tahun 2010 adalah 3.1 peratus. Oleh itu kenaikan harga barangan diwakili IHP menunjukkan paras harga umum terus meningkat bagi setiap tahun walaupun peratusan perubahan kelihatan kecil bagi tahun 2012. Kekeliruan yang kedua pula adalah wajaran atau pemberat yang digunakan bagi membentuk IHP. 

Perlu diketahui bahawa pihak Jabatan Statistik akan melakukan kajian atau bancian terhadap perbelanjaan isi rumah bagi setiap lima tahun. Gambaran keseluruhan Kajian itu akan digunakan sebagai asas kepada pembentukan IHP dan dijangka mampu untuk memberi gambaran secara keseluruhan terhadap pola perbelanjaan isi rumah di negara ini. Sebagai contoh, pemberat bagi indeks makanan dan minuman bagi tahun asas 2005 adalah 31.4 peratus daripada jumlah keseluruhan IHP manakala bagi tahun asas 2010, pemberat indeks berkenaan telah menurun kepada 30.3 peratus. Ini menunjukkan perubahan dalam corak perbelanjaan rakyat di negara ini yang mana perbelanjaan terhadap barangan asas seperti makanan dan minuman telah berkurangan. Perkara ini juga membuktikan bahawa taraf kehidupan sosial masyarakat di Malaysia juga sudah meningkat yang mana permintaan terhadap barangan atau perkhidmatan yang bukan asas seperti restoran dan hotel sudah meningkat. 

Terus terpelihara Wajaran IHP bagi sektor restoran dan hotel telah menunjukkan kenaikan daripada 3.0 peratus kepada 3.2 peratus bagi tahun asas 2010. Apa yang cuba disampaikan melalui IHP ini adalah suatu gambaran terhadap harga yang dibayar oleh isi rumah bagi setiap barangan dan perkhidmatan yang digunakan oleh masyarakat di negara ini. Ia mungkin berbeza bagi setiap individu tetapi perangkaan ini amat penting bagi merangka dasar-dasar kerajaan untuk memastikan kuasa pembeli pengguna akan terus terpelihara. Bagaimanapun, isu kenaikan harga makanan ini telah mula mendapat perhatian apabila terdapat laporan yang menyatakan kenaikan harga yang mendadak bagi komoditi seperti kacang soya dan minyak jagung di Amerika Syarikat (AS) berikutan kemarau yang berpanjangan pada bulan Jun tahun ini. 

Sehubungan itu, indeks harga makanan dunia yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan kenaikan mendadak sebanyak 6.2 peratus pada bulan Julai berbanding bulan yang sebelumnya. Lantaran itu timbul pula kebimbangan terhadap harga makanan domestik yang berkemungkinan akan mengalami nasib sama. Jika dilihat tren semasa antara IHP dan indeks harga makanan dunia menunjukkan pergerakannya bukan saja seiringan malah perubahan harga makanan dunia cenderung memberi petanda awal bagi tren harga barangan di Malaysia. Pemerhatian yang sedemikian menunjukkan bahawa negara kita terdedah kepada ancaman turun naik harga makanan dunia. Ukuran seperti tahap sara diri menunjukkan terdapat beberapa kategori makanan yang mempunyai tahap sara diri yang kurang daripada 100 peratus. Sebagai contoh, daging lembu, kambing serta serta susu mempunyai tahap sara diri 29.0 peratus, 11.3 peratus dan 5.0 peratus pada tahun 2011. Ini bermakna kita perlu mengimport barangan seperti ini bagi memenuhi keperluan domestik. 

Oleh itu, isu kenaikan harga makanan perlu dilihat dari sudut yang lebih objektif. Ini bagi memastikan kita memahami permasalahan dihadapi negara kita ini dan bagaimana pihak kerajaan menanganinya. Tidak dinafikan harga makanan sememangnya kian meningkat saban tahun berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu serta permintaan yang tinggi daripada negara membangun. Namun, perangkaan bagi mengukur kenaikan harga ini dapat dilihat melalui IHP, sekali gus mampu diterima pakai bagi merangka dasar yang sesuai untuk rakyat.

0 comments:

Post a Comment