Gara2 Panggil Polis Bodoh, Pekerja Butik Didenda RM50

KUALA TERENGGANU: Gara-gara memanggil seorang anggota polis bodoh, seorang pekerja sebuah butik di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dikenakan denda RM50 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah.

Nur Syafa Watiha Wahab, 19, dari Kampung Telaga Batin, Seberang Takir didakwa mengeluarkan perkataan "polis bodo" terhadap Konstabel Mohd Hafifi Ali dari Cawangan Pencegahan Jenayah, Balai Polis Gong Badak yang ketika itu menahannya kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 1 petang, 28 Mei lalu di kawasan LTSM dan didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1957 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100.

Tertuduh yang memakai baju kurung berwarna biru, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Adila Abd Latif.

Pendakwaan dilakukan oleh pegawai penyiasat, V Ravi, manakala tertuduh diwakili peguam Hayyatuddin Muhammad. Peguam bela tertuduh sebelum itu merayu mahkamah supaya melepaskan tertuduh dengan amaran memandangkan ia adalah kesalahan pertama anak guamnya selain anggota polis terbabit juga tidak memakai pakaian seragam serta kenderaan rasmi jabatan ketika menjalankan tugas itu.

Katanya ia tidak mencerminkan etika yang sepatutnya dipatuhi oleh seorang anggota polis ketika menjalankan tugas mengakibatkan berlaku salah faham sehingga menimbulkan provokasi yang menyebabkan kejadian itu berlaku. Mengikut fakta kes, tertuduh dilaporkan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal ke tempat kerjanya dan telah terserempak dengan anggota polis berkenaan yang ketika itu sedang menjalankan rondaan.

Dia yang diarah berhenti untuk tujuan pemeriksaan bagaimanapun dikatakan tidak berpuas hati menyebabkan berlaku pertengkaran sehingga mengeluarkan kata kesat itu sebelum bertindak menghubungi ayahnya.

Ayahnya yang datang selepas itu dilaporkan memarahi anggota polis berkenaan kerana menegur anaknya dengan mengatakan jalan itu adalah jalan anaknya dan kawasan itu adalah kampung mereka sebelum bertindak meninggalkan anggota polis tersebut dalam keadaan tidak puas hati. - BERNAMA

6 comments:

chekgu Bani Hassim said...

agak2la nak maki polis pun....
ade ke maki depan2...akai ada ka??
denda rm50 mmg sket, tp malunya...priceless...hahaha

Intan Hanina said...

uhuk dah geram bebenor tu.. adeh ler..

Zamz said...

haha chekgu BH..betul2 tuh. Zaman skarang ni laki pompuan adab pun dah kurang sikit. Boleh maki2 depan2. Buat jatuh saham je hahah

Zamz said...

ien geram pun nak kena sabar gak. kerana mulut badan binasa hehe

IxoR@ said...

tak pasal-pasal dapat masalah....

kalau iye pun geram kan.... sabar la. kite ni mentimun....

Zamz said...

emm kena pikir panjang sikit la kan ixora

Post a Comment