Kelayakan Piala Dunia Zon Asia: Malaysia Mara Lawan Singapura Walaupun Tewas 2-3 Kepada Taiwan

SEMANGAT juang Harimau Malaya benar-benar tercabar apabila diberikan tentangan sengit hingga ke wisel penamat oleh Taiwan pada perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia di Stadium Taipei, semalam. Skuad kendalian ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal mencatatkan kekalahan pertama sejak penghujung tahun lalu apabila tewas 2-3 namun ia sudah cukup untuk memastikan tiket Harimau Malaya ke pusingan kedua dengan agregat 4-4 (menang hasil peraturan gol tempat lawan) untuk menentang Singapura yang sedia menanti pada aksi penghujung bulan ini.

Namun kemenangan itu jelas tidak menggembirakan Rajagobal yang jelas berang dengan barisan pemain negara terutamanya selepas menghadiahkan tiga sepakan penalti. “Secara keseluruhan saya kurang gembira walaupun berjaya mara ke pusingan kedua. Ini bukan permainan kita yang sebenar".

“Sepatutnya kita bermain seperti biasa iaitu tenang serta melakukan hantaran pantas dan sepatutnya gol pertama memberikan ketenangan namun sebaliknya yang berlaku apabila barisan pertahanan leka dan menghadiahkan gol penyamaan kepada lawan,” ketika ditemui selepas perlawanan.

Tambahnya tiga penalti yang diberikan kepada lawan secara tidak langsung membangkit semangat melawan mereka.
Kapten Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim dan pemain pertahanan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak sekali lagi menjadi wira apabila meledak gol seperti perlawanan pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada perlawanan pertama Rabu lalu.

Harimau Malaya melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama malam semalam berbanding pada perlawanan pertama yang dimenangi dengan keputusan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu dengan memasukkan Norshahrul Idlan Talaha dan Mahalli Jasuli manakala lawan melakukan satu pertukaran di pertahanan kanan dengan pemain yang berpangkalan di Belgium, Xavier Tsan-Yuan. Kehadiran Xavier sedikit sebanyak memberikan suntikan semangat kepada rakan-rakannya apabila tuan rumah mengasak ke kubu Harimau Malaya sejak wisel permulaan ditiup namun penjaga gol negara, Mohd Sharbinee Allawee ampuh bertahan sebagai benteng terakhir.

Harimau Malaya bagaimanapun berjaya membuat kejutan awal menerusi pemain pertahanan tengah, Mohd Aidil Zafuan hasil sepakan percuma dari jarak 35 meter pada minit kelapan permainan.

Rembatan kencang bekas kapten negara itu menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti menggegar palang sebelum menerjah jaring menewaskan penjaga gol lawan, Lin Po-Cheng. Gol itu nyata mencabar semangat lawan yang mendapat sokongan kira-kira 10,000 penyokong tempatan apabila Chang Han meledak gol penyamaan selepas keadaan kucar-kacir dalam kotak penalti skuad negara pada minit ke-31.

Harimau Malaya yang mendapat sokongan kira-kira 500 peminat kembali mendahului pada minit ke-38 apabila sepakan percuma Mohd Safiq menerjah jaring untuk menewaskan Po-Cheng untuk kali kedua sebelum sepakan penalti, Chang Han menyamakan kedudukan pada minit ke-43.

Pengadil dari Vietnam, Vo Minh Tri sekali lagi memberikan penalti kepada tuan rumah pada minit ke-60 namun kali ini giliran Mohd Sharbinee membuktikan kejaguhannya apabila menepis sepakan Chen Po-Liang.

Xavier akhirnya menjaringkan gol untuk negaranya pada minit ke-73 apabila Minh Tri menghadiahkan penalti ketiga kepada Taiwan selepas Mohd Sharbinee didakwa menjatuhkan Po-Liang dalam kotak penalti.

tak sempat nk tgk live smalam sebab ada hal yg tak dpt dielakkan. tapi dengar taiwan dpt sampai 3 penalti tu mmg cuak jugak la kan. Apa2 pun tahniah buat skuad Msia. Lepas ni sila baham singapura plak hehehe

1 comments:

Bb Hussain said...

tahniah buat Malaysia..

Post a Comment