Serangan Jantung Kecil


SAKIT dada atau dada terasa ‘sesak’, sama ada ketika berehat atau melakukan aktiviti ringan seperti berjalan dan menaiki tangga, antara perkara yang perlu diberi perhatian serius kerana ia menjadi tanda utama kepada penyakit jantung, terutama bagi orang dewasa berumur 40 tahun ke atas.

Sakit dada atau dalam istilah perubatan dipanggil angina adalah serangan jantung kecil; yang sering disalah anggap sebagai gangguan biasa dan tidak perlu dibimbangkan kerana gejalanya sekejap, malah hanya ‘sakit sedikit’.

Anggapan ini menyebabkan masalah jantung semakin serius dan kajian menunjukkan 50 peratus pesakit yang mengalami serangan jantung meninggal dunia sebelum sempat sampai ke hospital.

Mengabaikan tanda yang dianggap ‘masalah biasa’ ini sebenarnya boleh menyebabkan kematian awal pada usia muda. Ini dibuktikan dalam kajian jangka panjang oleh Institut Kesihatan Awam di Oslo, Norway.
Kajian berkenaan membabitkan tiga pertanyaan seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu:

• Adakah anda berasa sakit atau sesak dada apabila mendaki bukit, menaiki tangga atau berjalan cepat di permukaan landai?
• Jika anda sakit atau sesak dada ketika berjalan, adakah anda berhenti, berjalan perlahan atau terus berjalan?
• Jika anda berhenti atau berjalan perlahan, adakah sakit dada itu hilang dalam masa kurang 10 minit, selepas 10 minit atau lebih?

Anda dikatakan mengalami angina jika menjawab ‘ya’ bagi soalan pertama, ‘berhenti atau berjalan perlahan’ bagi soalan kedua dan ‘kurang daripada 10 minit’ untuk soalan ketiga.

Soal selidik itu dilakukan dalam tiga peringkat iaitu pada 1974 hingga 1978, 1977 hingga 1983 dan pada 2000. Peringkat pertama membabitkan 16,265 wanita dan 16,616 lelaki berumur 40 hingga 49. Manakala peringkat kedua membabitkan 15,318 lelaki dan 15,301 wanita.

Pada 2000, kajian susulan dilakukan dan didapati 1,316 lelaki dan 310 wanita (dari bahagian kedua) dan 2,685 lelaki serta 650 wanita dari kumpulan pertama meninggal dunia akibat penyakit jantung.

Kajian itu mendapati risiko kematian akibat sakit jantung adalah lebih tinggi di kalangan individu yang mengalami sakit dada. Malah, risiko sama dihadapi jika tidak mengawal peningkatan paras kolesterol dan tekanan darah.

Walaupun semua orang tahu penyakit jantung menjadi pembunuh nombor satu di seluruh dunia, masih ramai belum mengambil langkah pencegahan, terutama dalam kawalan berat badan dan pemakanan.

Menurut Pengarah Perubatan dan Perunding Kardiologi Intervensi, Pusat Penjagaan Jantung Kuala Lumpur (KLHC), Dr Mohamad Rafiq Ibrahim, 54 peratus penduduk Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan dan obes.

Berdasarkan pecahan kaum, 63.4 peratus adalah kaum India, 53.5 peratus (Melayu) dan 50.8 peratus kaum Cina mengalami masalah yang semakin membimbangkan ini.

Walaupun kebanyakan pakar perubatan menggunakan pendekatan Indeks Jisim Badan (BMI) untuk penentuan kegemukan dan tahap obesiti, kaedah yang dianggap lebih praktikal dan tepat ialah mengukur saiz pinggang.

Ia juga menjadi penanda aras penting kerana pengumpulan lemak pada bahagian pinggang bukan saja meningkatkan risiko sakit jantung, tetapi turut menjejaskan fungsi organ yang terletak di bahagian perut (abdomen).

“Sakit jantung tidak hanya berlaku pada lelaki dan akhir-akhir ini semakin banyak kes serangan jantung membabitkan wanita.

“Pada lelaki, risiko sakit jantung meningkat apabila berumur 45 tahun dan 55 tahun bagi wanita iaitu selepas menopaus.

“Malah lebih membimbangkan, apabila wanita diserang sakit jantung, masalah mereka biasanya serius kerana lambat dikesan.

“Selain itu, pesakit kencing manis perlu memberi perhatian serius dalam mengawal penyakit mereka. Kira-kira 80 peratus pesakit kencing manis meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Risiko kematian mengejut akibat masalah jantung di kalangan pesakit kencing manis sama seperti orang yang pernah mendapat serangan jantung,” katanya.

Dr Mohd Rafiq berkata, ini sebabnya konsep perkhidmatan kesihatan perlu diubah daripada memberi tumpuan terhadap rawatan kepada kaedah pencegahan yang terbukti lebih baik dan menjimatkan.

Namun ia bukan usaha mudah dan memerlukan kerjasama serta pembabitan secara langsung segenap lapisan masyarakat, terutama untuk mengubah gaya hidup menjadi aktif, kerap bersenam dan mengubah tabiat pemakanan.

“Fahaman orang kita yang menganggap boleh makan apa saja ketika muda juga perlu dibetulkan kerana pengumpulan lemak dalam salur darah bermula seawal umur dua tahun, tetapi biasanya pada umur tujuh tahun.

“Kerjaya kita hari ini sebenarnya terlalu banyak rehat. Ketika bekerja, terutama yang kerja di pejabat, adalah waktu badan berehat dan apabila balik kita perlu melakukan aktiviti cergas untuk menggerakkan seluruh anggota badan.

“Selain itu, pemeriksaan secara berkala boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan. Ketahui angka penting seperti tekanan darah, paras kolesterol dan gula dalam darah supaya langkah pencegahan boleh diambil jika melebihi tahap normal,” katanya.

Antara langkah pencegahan yang boleh diamalkan ialah:
• Beri perhatian apa yang anda makan. Jangan lupa ambil sekurang-kurangnya lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.

Tiada pantang larang untuk makan kerana tiada makanan yang boleh dikategorikan sebagai ‘baik atau berbahaya’, tetapi segalanya hendaklah diambil secara sederhana.

Setiap kali sebelum mengambil makanan, ingat bahawa pinggan anda perlu dibahagi kepada empat bahagian iaitu untuk sumber karbohidrat (nasi), protein (ikan, daging, telur atau ayam), sayur dan buah.
  • Jadikan senaman sebagai satu kemestian. Senaman semudah berjalan pantas selama 10 minit yang dilakukan tiga kali setiap hari dan tiga atau empat hari seminggu memadai untuk mengekalkan kesihatan dan menurunkan risiko penyakit jantung.
  • Berhenti merokok.
  • Jalani pemeriksaan kesihatan asas secara berkala sekurang-kurangnya setahun sekali, terutama tekanan darah, paras gula dan kolesterol.
takut plak dah baca camni...huhuhu

2 comments:

Bb Hussain said...

memang menakutkan...Bb amik supplement untuk pencegahan..oppss..baru teringat pagi ni belum makan supplement lagi..heheh

Zamz said...

tulah bb takut tu takut gak tapi setakat ni action tu kurang hehe

Post a Comment