Krisis Ekonomi Bukan Akibat Kapitalisme?

artikel ni menarik utk bacaan..cuma aku tak setuju sbb aku rasa sistem kapitalis antara faktor penyebab kegawatan ni jugak.

kalau tak silap sistem kapitalis yg tulen menyebabkan org yg mempunyai kapital atau harta mendapat lebih byk keuntungan...

sama dgn isu subprime mortgage kat US jugak di mana disebabkan diorang ni nak return yg lebih..diorang sanggup amik risiko yg lebih tinggi dari biasa

Oleh DR. EAMONN BUTLER

KEGAWATAN ekonomi dunia menyebabkan ramai yang menuntut supaya kawalan sektor kewangan dipertingkatkan. Reaksi sebegini memang boleh kita fahami. Tetapi ini reaksi yang salah.

Krisis yang kita hadapi bukan kegagalan kapitalisme. Penyebab utama krisis ini ialah ahli politik yang memaksa bank-bank memberikan pinjaman yang tidak munasabah, pihak berkuasa kewangan yang membiarkan Barat dibanjiri oleh kredit murahan, dan juga kegagalan proses pemantauan.

Tarikh lahirnya krisis ini ialah 12 Oktober 1977. Sebelum tarikh ini, institusi kewangan biasanya tidak memberikan pinjaman kepada mereka yang menetap di kawasan-kawasan miskin kerana mereka yang tinggal di kawasan sebegini biasanya mempunyai pendapatan yang terlalu rendah dan aset mereka juga murah. Kombinasi ini biasanya hanya akan melahirkan peminjam yang akhirnya gagal melunaskan pinjaman mereka.

Tetapi pada 12 Oktober 1977, Presiden Amerika Syarikat Jimmy Carter menandatangani rang undang-undang yang juga dikenali sebagai anti-redlining law. Undang-undang ini tidak membenarkan institusi kewangan meneruskan pemberian pinjaman secara selektif sedemikian rupa. Akibatnya institusi kewangan terpaksa memberi pinjaman kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk membayar balik pinjaman dengan penuh.

Niat ahli-ahli politik pada waktu itu mungkin baik. Mereka mahu semua rakyat boleh memiliki rumah dan itulah sebabnya mereka meluluskan undang-undang ini yang mengharuskan institusi kewangan memberi pinjaman yang berisiko tinggi, atau kini dikenali sebagai pinjaman subprima.

Menjelang tahun 1985, keputusan tersebut hampir-hampir menyebabkan institusi-institusi tabungan dan pinjaman di Amerika Syarikat menjadi bankrap. Maka, kerajaan Amerika mengambil alih hutang-hutang lapuk yang semakin banyak dan menggalakkan konsolidasi hutang-hutang tersebut, lantas melahirkan syarikat-syarikat yang amat besar sehingga jika mereka gagal, kesannya akan amat buruk kepada ekonomi secara keseluruhan. Ringkasnya, tindakan kerajaan secara tidak langsung melahirkan syarikat-syarikat yang terlalu besar untuk dibiarkan gagal.

Seterusnya, selepas itu, pasaran saham di Amerika pula merudum kerana terdapat kebimbangan jika institusi kewangan lain juga akan gulung tikar. Pasaran saham Asia juga menjunam. Mexico, Argentina dan Rusia pula gagal membayar hutang mereka. Saham-saham dotcom yang sebelumnya memuncak pun tiba-tiba runtuh. Dan kemudian berlaku pula tragedi 11 September.

Setiap kali berlaku peristiwa-peristiwa ini, kerajaan di negara-negara Barat bertindak balas dengan cara mempertingkat jumlah wang tunai di pasaran mereka.

Selepas tragedi 11 September, Bank Negara Amerika (Federal Reserve) memotong kadar faedah daripada 6.25 peratus kepada satu peratus sahaja kerana mereka bimbang ketidakyakinan pelabur akan membawa kepada merudumnya ekonomi. Tindakan mereka ini menghantar isyarat yang salah kepada pasaran dan ia menyebabkan credit bubble berterusan.

Penurunan kadar faedah menyebabkan hutang pada waktu itu menjadi enam kali lebih murah daripada sebelumnya. Maka jumlah permohonan pinjaman perumahan pun memuncak. Institusi kewangan pula dengan senang hati memberikan lebih banyak pinjaman subprima.

Apabila lebih ramai orang yang mahu membeli rumah, maka harga rumah pun meningkat dengan tinggi. Peningkatan harga rumah menyebabkan berlakunya kitaran yang beterusan - lebih ramai orang yang mahu membeli rumah, dan lebih ramai yang membuat pinjaman, kerana ia dilihat sebagai cara yang selamat untuk membuat keuntungan.

Di London pula, satu dekad di bawah pentadbiran Parti Buruh (Labour) menyaksikan perbelanjaan kerajaan yang jauh melebihi pendapatan. Ini mengakibatkan pinjaman kerajaan meningkat dengan tinggi. Hutang peribadi rakyat, dan juga harga rumah, juga turut meningkat.

Selama hampir sepuluh tahun semua pihak berpesta meraikan pertumbuhan ekonomi dunia. Tetapi pertumbuhan ekonomi tersebut sebenarnya dibiayai oleh 'wang palsu' yang dicetak oleh kerajaan semata-mata untuk menjana pesta pertumbuhan ekonomi yang berterusan. Apabila pesta tersebut sampai ke penghujung, maka lahirlah kesan yang kita alami sekarang.

Pihak berkuasa pula seolah-olah terus tertidur, atau mungkin telah bertahun-tahun pengsan. Sekitar 200 agensi pengawalan dan penguat kuasa sebenarnya mengawasi Fannie Mae dan Freddie Mac tetapi kedua-dua syarikat ini masih lagi roboh dengan hutang hampir AS$5 trilion.

Kedua-dua syarikat dokongan kerajaan ini membiarkan pelabur menyangka bahawa pinjaman perumahan yang mereka miliki, walaupun banyak yang lapuk, tetap dilindungi oleh kerajaan. Ini menyebabkan agensi-agensi pengkadaran kredit (credit rating agencies) memberikan mereka markah tinggi termasuklah kepada bon-bon yang sebenarnya tidak boleh dipercayai.

Banyak institusi kewangan yang menyediakan pakej semula hutang-hutang lapuk tersebut dan menjualnya semula di pasaran dunia. Ada institusi kewangan yang memberi pinjaman terlalu tinggi sehingga tiga puluh kali jumlah aset yang mereka miliki. Tetapi pihak berkuasa terus membisu. Contohnya, walaupun Bank Negara England mengetahui bahawa syarikat Northern Rock hampir gagal, mereka tidak melakukan apa-apa tindakan langsung.

Apa yang berlaku menunjukkan bahawa terdapat ketempangan yang jelas pada pihak berkuasa dan peraturan. Apabila pihak berkuasa tertidur, jangan pula kita terkejut jika ada pihak yang mengambil risiko terlalu tinggi. Yang patut dipersalahkan ialah pihak berkuasa dan bukannya sistem perekonomian.

Sebarang penyelesaian yang dicadangkan sekarang mestilah kembali kepada prinsip-prinsip asas ekonomi. Usaha kerajaan Amerika untuk bail out syarikat tertentu hanya akan menyelamatkan mereka yang bersalah tanpa menghiraukan mangsa sebenar situasi ini.

Pada waktu yang sama kita juga harus sedar bahawa dunia ini lebih besar daripada Amerika Syarikat. China kini merupakan ekonomi keempat terbesar di dunia dan ia terus berkembang dengan kadar hampir 10 peratus. India dan lain-lain negara membangun juga terus berkembang.

Walaupun ekonomi negara-negara Barat merudum, ekonomi dunia dianggarkan akan terus berkembang pada kadar empat peratus. Ini masih baik.

Maka, walaupun kapitalisme yang diamalkan di negara-negara Barat kini terpukul akibat daripada kelemahan dan campur tangan ahli politik dan pegawai-pegawai penguat kuasa, tetapi kapitalisme global terus berjaya mengeluarkan jutaan manusia daripada bencana kemiskinan.

4 comments:

Mak Su said...

tarikh lahir krisis 12 oktober.
tarikh lahir saya pun di bulan oktober.
adakah saya dan krisis ini berkongsi bintang?
[sori, merapu sat]

Zamz said...

maksu dah dekat ek...dekat2 dgn my doter

suara said...

erm...
bila manusia semakin mengejar keduniaan, mmg akan berlaku keadaan cam ni. sorang kawan hubby saya beli rumah sampai 9 bijik. mmg lah utk buat pelaburan, tapi kalau semua org nak buat pelaburan cam tu, sapa yg nak duduk rumah tu?

tapi mmg kat mana-mana pun , akan ada org kaya dan org miskin. jurangnya semakin luas bila manusia semakin galak mengumpul harta sbb akan ada yg berjaya merebut peluang, dan akan ada yg gagal.

Sedih, kan?

Saya selalu ingatkan diri dan suami... biarlah Allah kurniakan rasa mencukupi dlm hati kami. dgn kata lain, tak nak tamak.

Salam lebaran zamz...

Zamz said...

tulah suara sapa yg berharta makin kaya naikkan sewa rumah yg takde rumah ni nak tak nak terpaksa jugak la bayar sewa

Post a Comment