Roti Kandungi Melamine Tinggi Diarah Dimusnahkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengarahkan pengeluar dan pengguna roti Vigour 888 Filling Roll (sergestid Shrimp Flavour) memusnahkan produk berkenaan kerana didapati melebihi standard bagi melamine.

Ketua Setiausahanya Datuk Mohd Nasir Mohd Ashraf berkata, selepas diuji oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan kementerian, sampel makanan itu didapati mengandungi 4.71 bahagian setiap juta (ppm) sedangkan syarat yang dibenarkan kementerian ialah 0 ppm melamine.

“Kementerian sudah mengenal pasti produk serta syarikat itu, dan mengeluarkan arahan kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk memusnahkan produk berkenaan. Syarikat itu juga diarahkan menarik balik produk tersebut dari pasaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sementara itu Mohd Nasir berkata, Kementerian Kesihatan mendapati 14 lagi sampel produk makanan yang diuji mematuhi standard bagi melamine.

Produk makanan itu ialah Minis Milk Chocolate (M&M’s), Peanut Chocolate (M&M’s), Leisure Seaweed Biscuits (Golden Fuji Food), Rice Crackers (Want Want), Chicken Flavour Cracker (Golden Fuji), Burnedmeat Flavour Biscuit @ Cui Mei Si (Golden Fuji).

Turut didapati mematuhi standard melamin ialah Baby Bites Chicken With Vegitable Taste (Baby Bites), Chocolate Cream Biscuits (Sanwa) Milk Chewy Candy (Want Want), Seawees Wheet Biscuits (For Seas), Rice Crisps BBQ (Daysun), Rice Crisps Sour Cream & Onion (Daysun) dan Gula Udang (KIKI).

Mohd Nasir berkata, sekiranya pengguna masih ragu-ragu, mereka boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di talian 03-88833455, 88833652, 88833503 dan 88833500.

“Talian ini dibuka dari jam 8 pagi sehingga 9 malam termasuk hari cuti umum,” katanya sambil menambah orang ramai juga boleh melayari laman web kementerian di http://fsq.moh.gov. my untuk maklumat lanjut.

Sementara itu menurutnya, sehingga hari ini 780 produk makanan bernilai RM769,424.90 disita dari pasaran tempatan di seluruh negara. — Bernama

0 comments:

Post a Comment