Asal Hajarul Aswad Putih

saja nak share article pasal hajar aswad nih..

Satu fenomena cukup ketara diperhatikan ketika musim haji ialah amalan mengucup Batu Hitam atau lebih dikenali
Hajarul Aswad.


Ia didakwa sebagai mencontohi kucupan diterima daripada Nabi Muhammad s.a.w. Ulama menyatakan perbuatan istilam (melambai tangan) terhadapnya ketika memulakan tawaf atau mengucup Hajarul Aswad (sekiranya dapat) termasuk perkara sunat mengerjakan haji dan umrah.

Signifikan tindakan itu, sebagaimana digambarkan Saidina Umar al-Khattab, Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua: “Saya tahu anda adalah sebuah batu yang tidak mendatangkan bahaya dan faedah. Jika tidak aku melihat Rasulullah s.a.w mengucupmu, aku tidak akan mengucupmu.”

Nabi s.a.w menciumnya sebagaimana dilakukan nabi sebelumnya, sehingga Hajarul Aswad menjadi tempat bertemunya bibir kalangan nabi, orang soleh, jemaah haji dan mereka yang menunaikan umrah sepanjang sejarah.

Ia juga menjadi tempat permulaan dan akhir tawaf, sekali gus tempat mustajab dikabulkan doa.

Batu Hitam yang terletak di bahagian penjuru sebelah timur Kaabah adalah objek sangat disanjungi umat Islam. Secara kasar batu itu berukuran diameter 30 sentimeter dan 1.5 meter dari paras bawah.

Ia dikatakan pernah pecah kepada beberapa bahagian pada Zaman Pertengahan. Malah ada pihak mendakwa ia pecah menjadi berkeping-keping kepada lapan gugusan batu kecil.

Keadaan ini berlaku pada zaman Qaramithah, iaitu satu mazhab daripada Syiah Islamiyah al-Batiniyah daripada pengikut Abu Thahir al-Qarmathi yang mencabut Hajarul Aswad dan membawanya ke Ihsa' pada 319 Hijrah, tetapi kemudian dikembalikan lagi pada 339 Hijrah.


Gugusan terbesar dikatakan sebesar buah kurma dan tertanam di batu besar yang lain dikelilingi oleh ikatan perak dan diperkuatkan lagi dengan paku perak. Batu itulah yang dianjurkan untuk dikucup, bukannya batu di sekitarnya dan yang meliputi perak.

Antara keutamaan Hajarul Aswad kerana ia berasal daripada batu yang mulia (yaqut) dari syurga yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s agar diletakkan di satu sudut Kaabah.

Bahkan menurut tradisi Islam, batu itu berasal dari syurga pada zaman Nabi Adam a.s dan Hawa lagi, dalam keadaan putih berkilau dan bebas daripada unsur kejahatan, tetapi ia menjadi hitam kerana dosa yang diserap tahun ke tahun.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Hajarul Aswad itu diturunkan dari syurga, warna lebih putih daripada susu dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam.”

Dikatakan juga Nabi Ibrahim a.s yang menemui Batu Hitam dan apabila baginda membina semula Kaabah, Malaikat Jibril a.s membawa batu itu keluar dan memberikan kepada baginda.

Menurut cerita, apabila Nabi Ibrahim siap membina Kaabah, dengan bantuan puteranya, Nabi Ismail a.s, Allah memerintahkan baginda melakukan tawaf.

Baginda tidak dapat menetapkan bilangan yang tepat pusingan dilakukannya. Baginda berasa mereka yang lain juga akan keliru.

Justeru, baginda berdoa kepada Allah untuk memberikannya suatu tanda untuk digunakan bagi mengira pusingan. Malaikat Jibril membawakan batu hitam terbabit kepadanya.

Bahkan, Nabi Muhammad s.a.w turut memainkan peranan dalam sejarah Hajarul Aswad. Ini kerana pada waktu pembinaan semula struktur Kaabah, Hajarul Aswad dipindahkan sementara dan bagindalah yang meletakkan semula batu terbabit di tempat asalnya.

Satu cerita yang ditemui dalam Sirah Rasulullah Ibn Ishaq menunjukkan Nabi Muhammad s.a.w menyelesaikan satu pertelingkahan di antara suku Makkah, yang masing-masing berhak untuk meletakkan Hajarul Aswad di tempat asalnya.

Jalan penyelesaiannya ialah dengan memanggil semua pemimpin suku terbabit untuk mengangkat penjuru batu dengan satu kain dan kemudian Nabi Muhammad s.a.w meletakkan batu itu pada tempatnya dengan tangannya sendiri.

Umat Islam dari satu generasi ke generasi apabila mula tawaf dan selesai setiap pusingan, mengucup Hajarul Aswad, menyentuhnya dengan satu tangan atau sekadar memberikan isyarat kepadanya dari jauh.

3 comments:

eira said...

kalau la dapat pegi time mude2..
:)

Anonymous said...

bila la aku dapat pergi sana ni

Zamz said...

eira penyubiru..lehla start kumpul duit dari skrg..

Post a Comment