Malu Penghalang Terjebak Perbuatan Mungkar

saja nak share article nih

MALU adalah sifat terpuji kerana sesiapa yang memilikinya akan terlepas daripada segala kejahatan disebabkan sifat malu menghalang seseorang melakukan kesalahan serta kemungkaran.


Malu juga akan meninggikan darjat keimanan seseorang seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan yang boleh dibuat apabila melihat kemungkaran seperti rasuah dan pergaulan bebas ialah mereka sudah hilang sifat malu kerana tergamak melakukan perbuatan dilarang Allah.

Hilang malu menjadikan seseorang melakukan maksiat sesuka hati seperti dijelaskan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Jika engkau tidak rasa malu, perbuatlah apa saja yang engkau mahu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Bukhari) Perasaan tidak takut dosa atau azab Allah hanya ada pada mereka yang kering rasa malu dalam jiwa untuk melakukan dosa, malah tidak menghiraukan pandangan orang lain.

Demi menjaga kesucian maruah, masyarakat dan agama, maka setiap individu Muslim perlu menghiasi jiwanya dengan malu serta menganggap sifat itu perkara yang sangat penting perlu ditekankan dalam pembinaan akhlak terpuji.

Mereka yang mempunyai rasa malu termasuk golongan orang beriman kerana malu sebahagian tanda iman seperti dijelaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya malu dan keimanan saling berkait, jika salah satunya dikeluarkan yang satu lagi juga akan hilang serentak.” (Hadis riwayat Baihaqi) Diriwayatkan ketika Rasulullah SAW melewati seorang Ansar yang sedang menasihati saudaranya mengenai rasa malu, maka Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Biarlah ia memiliki rasa malu kerana malu itu termasuk dalam keimanan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

0 comments:

Post a Comment