PUTRAJAYA: Umat Islam disunatkan untuk menunaikan solat sunat khusuf iaitu solat sunat gerhana bulan secara berjemaah bersama khutbah gerhana sempena gerhana bulan penuh yang dijangka berlaku esok (Khamis).
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha, berkata galakan mengerjakan ibadat itu berdasarkan satu hadis diriwayatkan Imam Muslim yang antara lain menegaskan supaya mendirikan solat dan berdoa apabila melihat gerhana.
“Jakim menyeru semua masjid dan surau mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dengan mengadakan solat sunat khusuf serta khutbah gerhana. “Ibadat sunat ini seharusnya ditunaikan dengan sebaik mungkin, apatah lagi fenomena gerhana ini jarang berlaku,” katanya melalui satu kenyataan, di sini, semalam. Cawangan Falak, Jakim menjangkakan fenomena gerhana itu akan bermula pada jam 1.25 pagi Khamis dan mencapai tahap kemuncak pada jam 4.12 pagi, sebelum berakhir pada jam 6.59 pagi.
Othman berkata, pihak Jakim melalui Cawangan Falak dan masjid utama membabitkan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra, Putrajaya akan menganjurkan solat sunat khusuf pada jam 3 pagi.
Menurutnya, Masjid Putra dipilih sebagai lokasi utama majlis solat sunat berkenaan, termasuk mengadakan aktiviti cerapan.
2 comments:
biasanya dah terlena time ni.. tapi kalau ambil peluang solat ni pun ok kan..
satu fenomena alam..
Post a Comment