Showing posts with label myth. Show all posts
Showing posts with label myth. Show all posts

Mitos ~ Lebih Besar Megapixel Lebih Cantik Gambar???


berapa besar megapixel kamera korang..ada sampai 10 tak..hehe.. skrg normalla kalau kamera tu 5 megapixel ke atas..dah murah pun..cuma kekadang tangkap gambar still tak clear..stress jugakkan..dah beli mahal2 still tak clear....

UMUM mengetahui megapiksel merupakan salah satu faktor penting yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli sebuah kamera digital. Namun hari ini, ia mungkin tidak lagi relevan.

Apabila memilih kamera kompak yang mana untuk dimiliki, megapiksel bukanlah sesuatu yang perlu terlalu dititikberatkan. Apa yang perlu diberikan keutamaan hari ini ialah saiz sensor sesebuah kamera. Semakin besar sensor sesebuah kamera itu, semakin baik kualiti gambar yang mampu dihasilkan.

Semakin besar sensor bermakna semakin banyak cahaya dan semakin banyak cahaya dapat diambil oleh sesebuah kamera, semakin baik warna dan kontrasnya. Dengan sensor bersaiz besar, gambar yang diambil di dalam bangunan tanpa lampu limpah (flash) akan kelihatan lebih berkualiti berbanding kamera yang mempunyai sensor yang lebih kecil.

Malangnya, kamera kompak tidak mampu memuatkan sensor yang besar kerana ia perlu kekal kecil, padat dan mudah dibawa. Saiz sensor pada kamera kompak boleh menjadi lebih kecil daripada kuku jari kelingking manusia

Ini adalah penyebab utama mengapa kamera kompak sukar menghasilkan gambar yang berkualiti dalam keadaan yang kurang cahaya tanpa penggunaan flash. Bagi mengetahui saiz sensor sesebuah kamera, anda boleh memeriksa butiran pada manual kamera. Ia lazimnya dirujuk sebagai CMOS, CCD, elemen pengimejan atau sensor imej, tetapi tidak boleh lari dengan bacaan ukuran seperti 1/2.7 inci, yang merujuk kepada saiz sensornya.

Sebagai perbandingan, kamera Digital SLR profesional mempunyai sensor yang besarnya sehingga 30 kali ganda berbanding kamera kompak. Tidak hairanlah saiznya juga jauh lebih besar berbanding kamera biasa.

Ironinya, kaedah penyelesaian bagi mempertingkatkan kualiti foto pada kamera kompak ialah dengan cara mengurangkan bilangan megapikselnya. Dengan bilangan megapiksel yang kurang bermakna setiap piksel di dalam sensor kini boleh mendapat lebih cahaya sekali gus meningkatkan kualiti gambar.
full article