
PEMBEDAHAN ikat perut atau mengecilkan perut dianggap sebagai langkah terakhir yang boleh diambil bagi individu obes selepas semua kaedah lain seperti bersenam, mengubah tabiat makan atau mengambil ubat mengikut arahan doktor tidak memberi kesan diharapkan.
Pembedahan ini bukan untuk cantik, sebaliknya bertujuan meningkatkan tahap kesihatan kerana individu obes mempunyai risiko mendapat pelbagai penyakit, termasuk serangan jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan strok.
Walaupun gemuk, anda tidak semestinya layak mendapatkan rawatan ini kerana ia direka khusus bagi individu yang mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 32 kg/m² bagi penduduk Asia atau 35 kg/m² untuk penduduk Barat. BMI dikira dengan membahagikan berat dalam kilogram dengan tinggi dalam ukuran meter yang diganda duakan.
Mengapa kaedah ikat perut ini dikhususkan bagi kumpulan tertentu saja? Menurut Perunding Bedah Gastrointestin Pusat Perubatan Pantai, Datuk Dr Abdul Fahmi Karim, bagi kumpulan ini, peluang menurunkan berat badan melalui kaedah konvensional (menjaga makan dan bersenam) amat rendah iaitu kurang daripada 10 peratus.
Sebaliknya, kumpulan ini paling banyak berdepan risiko kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, paras kolesterol tinggi, penyakit jantung atau strok, terutama jika mereka mengalami masalah berat badan sejak muda.