RM60 Bilion Untuk Pulihkan Ekonomi

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan suntikan tambahan RM60 bilion menerusi satu lagi pakej bagi merangsang sektor penting dalam ekonomi negara untuk memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat dalam mengharungi kebimbangan prospek ekonomi sejagat yang suram.

Ketika membentangkan pakej rangsangan itu, yang kedua seumpamanya dalam tempoh lima bulan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pakej untuk tempoh dua tahun itu mengandungi empat teras iaitu mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan; meringankan beban rakyat terutama golongan mudah terjejas; membantu sektor swasta menghadapi krisis; dan membina keupayaan masa depan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, ketika membentangkan pakej itu di Dewan Rakyat, berkata kerajaan beriltizam untuk melakukan segala yang termampu untuk mengukuhkan keyakinan rakyat dan meringankan keperitan yang dirasai terutamanya kepada mereka yang mudah terjejas.

"Memandangkan senario ekonomi global yang meruncing maka pakej rangsangan kedua ini perlu bersifat lebih komprehensif dan bersaiz besar yang menjangkau lebih banyak sektor ekonomi dan kumpulan sasaran.

"Ini termasuk pekerja, pengguna, pelabur, peniaga kecil dan sederhana, pengeksport dan graduan menganggur," katanya.

Tanpa berselindung mengenai kegusaran prospek ekonomi global, Najib bagaimanapun berkata, beliau yakin Malaysia mampu untuk berdepan dengan persekitaran yang sukar seperti beberapa krisis yang terdahulu dengan adanya semangat bersatu dalam kalangan rakyat.

Katanya, Malaysia tidak boleh bergantung kepada dasar pemulihan ekonomi ortodoks, sebaliknya mesti berani merangka kaedah inovatif untuk menangani krisis itu.

"Kita sudah mula kedengaran suara rakyat yang mahu kerajaan dan pembangkang untuk melaksanakan usaha memulihkan semula ekonomi negara dalam keadaan kegawatan ekonomi global dan mengetepikan kemelut politik.

"Saya sendiri menerima saranan ini dengan hati yang terbuka. Kita perlu peka kepada saranan rakyat yang semakin lantang dan kerap diutarakan supaya kerajaan dan pembangkang memberi fokus kepada ekonomi dan rakyat," katanya sambil mengajak pembangkang untuk sama-sama berganding bahu dalam usaha itu.

"Besar harapan semua, bila berdepan dengan ribut ekonomi yang melanda, kita akan sentiasa sepakat sekata, sederap usaha, memikir melaksana apa yang terbaik untuk rakyat jelata," katanya.

Najib berkata, Malaysia terpaksa menerima hakikat bahawa ekonominya yang begitut erbuka akan mengalami tekanan berikutan kegawatan ekonomi global akibat kejatuhan nilai eksport, eksport komoditi yang terjejas, pelaburan langsung asing (FDI) berkurangan dan kejatuhan pasaran saham Bursa Malaysia.

Bagi menangani pengangguran, peruntukan pakej itu akan disalurkan ke arah menyediakan 163,000 peluang latihan dan pekerjaan, membiayai kos pengajian bagi program peringkat sarjana dan kedoktoran falsafah serta memberi insentif potongan cukai kepada majikan yang menggaji pekerja yang diberhentikan.

Menurut Najib, kerajaan akan mengambil 63,000 kakitangan untuk mengisi kekosongan jawatan, termasuk 13,000 jawatan pegawai kontrak.

Peluang pekerjaan lain ialah 4,000 tenaga kerja untuk skim perkhidmatan singkat; 1,000 siswazah sebagai guru kontrak; 800 pekerja kontrak bagi Program Cari di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; 1,000 pembantu kesihatan kontrak; 4,500 pegawai banci kontrak; serta 1,700 jururawat dan kakitangan sokongan hospital.

Tenaga kerja skim perkhidmatan singkat dengan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menerima gaji RM1,200 sebulan manakala guru kontrak siswazah dibayar gaji RM2,000 sebulan.

Bagi membantu siswazah menganggur, sebanyak RM700 juta diperuntukkan bagi program latihan sambil bekerja iaitu 1,000 graduan dalam sektor kewangan manakala 2,000 orang lagi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terutama sektor perkhidmatan seperti penyumberan luar, penerbangan, utiliti, kesihatan dan multimedia kreatif.

Syarikat swasta yang menggaji pekerja yang sudah diberhentikan dalam tempoh 10 Mac hingga 31 Disember 2010 diberi potongan cukai dua kali ke atas jumlah gaji yang dibayar.

Jumlah potongan yang layak tidak melebihi RM10,000 sebulan dan terhad kepada 12 bulan gaji untuk setiap pekerja.

Kerajaan akan menampung kos yuran pengajian dan bahan penyelidikan sebanyak RM20,000 bagi setiap pelajar di peringkat kedoktoran falsafah dan RM10,000 bagi sarjana.

Sebanyak 500 tempat bagi ijazah kedoktoran falsafah dan 10,000 bagi sarjana disediakan di institusi pengajian tinggi awam serta Universiti Tenaga Nasional, Universiti Multimedia dan Universiti Teknologi Petronas.

Skim PROSPER siswazah, yang dilaksanakan sejak Jun 2005, dikembangkan skopnya untuk memberi peluang kepada pemegang sijil kemahiran dan teknikal. Seramai 400 siswazah akan mendapat manfaat daripada program ini.

Kerajaan juga akan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dengan menaikkan bayaran levi pekerja asing sebanyak dua kali ganda bagi semua bidang kecuali pembinaan, perladangan dan pembantu rumah. Levi akan dibayar oleh majikan dan bukan oleh pekerja.

Najib berkata lesen agensi pengambilan pekerja asing dibekukan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memastikan golongan mudah terjejas akan mendapat faedah daripada skim jaringan keselamatan sosial, selain peruntukan RM27.9 bilion bagi menampung keperluan subsidi bagi tahun 2009.

Pakej rangsangan itu memberi peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta bagi meningkatkan kemudahan pusat penjagaan harian warga tua, memantapkan pengurusan rumah perlindungan wanita dan menambah kemudahan pusat asuhan kanak-kanak.

Bagi membantu nelayan yang mengalami musibah di laut, kerajaan menyediakan peruntukan permulaan sebanyak RM2 juta kepada Tabung Kebajikan Nelayan yang akan diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) manakala bagi pekerja yang diberhentikan, pengecualian cukai ke atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 bagi setiap tahun genap perkhidmatan.

Najib berkata, institusi perbankan bersetuju menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan oleh pekerja yang diberhentikan selama setahun.

Bagi menyokong usaha itu, kerajaan bersetuju agar pendapatan faedah bank berkaitan dengan penangguhan bayaran balik pinjaman itu hanya dikenakan cukai apabila pendapatan tersebut diterima.

Pakej kali ini juga menyediakan RM1.95 bilion bagi membina dan menambah baik 752 buah sekolah terutama di luar bandar. - Bernama

0 comments:

Post a Comment