Jakim Sahkan Mentega Golden Churn Pure Creamery Butter Tidak Halal


KUALA LUMPUR 15 Ogos - Orang Islam di negara ini diingatkan agar tidak menggunakan mentega berjenama Golden Churn Pure Creamery Butter selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengesahkan produk berkenaan tidak halal.

Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha berkata, hasil perbincangan pihaknya dengan Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Jabatan Kimia Malaysia (JKM), Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan memutuskan bahawa produk keluaran Syarikat Ballantyne Food PTY dari New Zealand itu tidak halal.

"Ini berikutan laporan analisis yang diterima oleh Jabatan Agama Islam Sarawak pada 19 Julai lalu menunjukkan terdapat Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi dalam produk berkenaan dan ia disahkan oleh JKM sendiri.

"Keputusan ini diambil setelah mendapati produk yang terlibat, berpunca dari kilang yang sama walaupun diimport oleh pihak yang berbeza dan juga diedarkan di pasaran yang berbeza," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, keputusan itu telah dimaklumkan kepada syarikat tersebut dan mereka bersetuju untuk menarik balik produk berkenaan dari pasaran.

Katanya, bagi pemegang dan permohonan baru Sijil Pengesahan Halal daripada Jakim ataupun jabatan agama Islam negeri pula yang telah menggunakan produk tersebut, diminta untuk melakukan beberapa proses tertentu.

"Pertama, mereka perlu menukarkan bahan ramuan tersebut kepada bahan ramuan lain yang mempunyai sijil halal yang diiktiraf.

"Kedua, mengemukakan resit pembelian bahan ramuan baru dan melakukan samak dengan disaksikan oleh jabatan agama Islam negeri.

"Akhir sekali pihak berkenaan perlu mengemukakan bukti surat akuan samak daripada pihak jabatan agama Islam negeri," katanya.

Tambahnya, pihaknya sentiasa prihatin dan mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan kepentingan umat Islam terpelihara dalam isu-isu berkaitan dengan halal dan tidak akan bertolak ansur mengenai hal itu.

"Bagi mengelak sebarang kekeliruan berkaitan isu-isu halal, orang ramai diminta merujuk kepada laman web Jakim iaitu www.islam.gov.my dan tidak merujuk kepada sumber yang tidak sahih seperti laman web sosial," katanya.

3 comments:

Zura Tahir said...

thanks 4 the info zamz..

Myza Pesona said...

Orang buat kek lapis Sarawak biasa guna mentega jenis nie ... harap2 bila dah dapat tau ni, cepat2 la cari alternatif lain!

Zamz said...

ur welcome zura

betul tu myza..mkn kek lain la pas ni hehe

Post a Comment